Ramalan Berstokastik Terhadap Potensi Takaful Wakaf Dalam Meningkatkan Dana Wakaf Tunai

Zaidi Isa, Rubayah Yakob, Nurul Hidayah Md. Razali, Mohd Hafizuddin Syah Bangaan Abdullah

Abstract


Takaful wakaf merupakan salah satu kaedah kutipan yang boleh membantu meningkatkan jumlah wakaf tunai di Malaysia. Manakala, pelan takaful pula merupakan mekanisme ekonomi yang telah terbukti mampu meminimumkan risiko kewangan peserta takaful. Namun begitu, kemampuan pelan takaful dalam meningkatkan jumlah kutipan wakaf melalui manfaat wakaf yang diwujudkan dalam takaful wakaf masih menjadi persoalan. Oleh sebab itu, kajian tindakan ini bertujuan untuk meramal potensi takaful wakaf secara objektif dan mengira kebarangkalian kebolehcapaian potensi pelan takaful wakaf dalam meningkatkan kutipan dana wakaf tunai. Kajian ini menggunakan data sekunder yang diperoleh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, Syarikat Takaful Ikhlas, Persatuan Takaful Malaysia dan Bank Negara Malaysia. Potensi takaful wakaf dikira berdasarkan beberapa model dengan andaian tertentu menggunakan nilai stokastik melalui Kaedah Simulasi Monte Carlo. Kajian ini membuktikan bahawa terdapat dua model yang boleh digunakan oleh pengendali takaful dalam meningkatkan kutipan wakaf tunai melalui pelan takaful wakaf. Model pertama mengandaikan bahawa kutipan wakaf tertakluk kepada kematian peserta takaful motor. Sekiranya, kesemua pengendali takaful motor menyertai pelan ini, potensi kutipan boleh mencapai sehingga RM1 juta. Pada kebolehcapaian 90%, model ini meramalkan kutipan wakaf tunai sebanyak RM907,000. Manakala, model kedua yang mengandaikan manfaat wakaf diperoleh daripada potongan 1-3% daripada sumbangan takaful setiap peserta dan penyertaan daripada semua pengendali takaful motor memberikan potensi yang jauh lebih baik. Model ini menganggarkan kutipan wakaf tunai sehingga RM83 juta dan pada kebolehcapaian 90% model ini meramalkan kutipan wakaf tunai sebanyak RM41 juta.  Hasil kajian ini mampu membantu pihak berauthoriti wakaf dan takaful dalam membentuk pelan strategik yang lebih objektif untuk memastikan kemampanan dan kelangsungan pelan takaful wakaf.

Keywords


Takaful; Wakaf; Simulasi Monte Carlo; Stokastik; Tunai

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.


 


 

ISSN 0126-5636 | e-ISSN : 2600-8556

Faculty of Islamic Studies
Universiti Kebangsaan Malaysia
43600 UKM Bangi, Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA

© Copyright UKM Press, Universiti Kebangsaan Malaysia