Peranan Arab Hadhrami Di Dalam Mempengaruhi Politik Istana Kerajaan Johor Pada Awal Abad Ke 20M

Nurulwahidah Fauzi

Abstract


Sepanjang tempoh abad ke-19M, sejarah menyaksikan terdapat lebih daripada 3 juta masyarakat Arab yang bermigrasi ke Negara luar. Fred melalui kajiannya mengklasifikasikan empat jenis migrasi yang dilakukan oleh koloni ini dan dua darinya menonjolkan migrasi masyarakat Arab daripada Hadhramaut Yaman. Keturunan yang mendakwa berasal daripada Rasulullah s.a.w ini terkenal melalui diaspora migrasi yang bermula seawal abad ke 12M melalui urusan perdagangan ke India, Timur Afrika pada tahun 1250M, dan ke Kepulauan Malaysia-Indonesia dalam lingkungan abad ke 13M ke atas. Penghijrahan yang dilakukan ini bukan hanya merubah taraf hidup mereka, bahkan secara tidak langsung menjana transformasi dalam pelbagai aspek yang membabitkan ekonomi, politik, pentadbiran, pendidikan dan sosial di negara yang dihijrahi. Artikel yang mengaplikasikan sumber primer dan sekunder ini mendapati bahawa kedudukan Arab Hadhrami dalam pentadbiran Istana Johor telah diangkat menjadi sebahagian penggubal polisi pentadbiran Islam seawal pentadbiran Sultan Abu Bakar lagi. Hal ini terjadi melalui pengaruh hubungan baik yang berlangsung di antara Istana Johor dengan Empayar Turki Uthmaniyyah. Rekod sejarah yang berlangsung hasil daripada hubungan ini kemudiannya menyaksikan lantikan enam orang mufti kerajaan Johor menerima pentadbiran daripada tokoh-tokoh tersohor daripada kelompok Arab Hadhrami mulai dari 1896-1981M.


Refbacks

  • There are currently no refbacks.