Pemilikan Keluarga dan Kualiti Pelaporan Kewangan: Pengaruh Kepakaran Kewangan dan Perundangan Jawatankuasa Audit

Wan Norazah Mamat @ Wan Mahmud, Romlah Jaffar

Abstract


Pemilikan keluarga merupakan salah satu ciri dominan yang mempengaruhi kualiti pelaporan kewangan firma di Malaysia. Kajian lepas di negara Barat, khususnya Amerika Syarikat mendapati firma milikan keluarga mempunyai kualiti pelaporan kewangan yang lebih baik berbanding dengan kualiti pelaporan firma bukan milikan keluarga. Namun dapatan kajian di negara Asia, khususnya Malaysia menunjukkan dapatan yang bercampur-campur. Kajian ini mengkaji pengaruh kepakaran kewangan dan perundangan ahli jawatankuasa audit ke atas hubungan pemilikan keluarga dengan kualiti pelaporan kewangan. Sebanyak 242 firma tersenarai di Bursa Malaysia pada tahun 2013 telah dipilih sebagai sampel kajian dengan menggunakan kaedah pensampelan rawak berstrata. Kualiti pelaporan kewangan diukur menggunakan akruan boleh pilih berdasarkan Model Jones Diubahsuai. Hasil analisis regresi menunjukkan terdapat hubungan tidak linear antara pemilikan keluarga dan kualiti pelaporan kewangan. Dapatan kajian ini menyokong teori agensi yang menyatakan kepakaran kewangan ahli jawatankuasa audit merupakan mekanisme yang berkesan dalam meningkatkan kualiti pelaporan kewangan apabila tahap pemilikan ekuiti keluarga adalah rendah. Namun, kualiti pelaporan kewangan didapati semakin menurun apabila pemilikan ekuiti keluarga adalah pada tahap yang tinggi. Pada tahap pemilikan keluarga tinggi, kepakaran kewangan ahli jawatankuasa audit bukan lagi faktor yang efektif untuk mengekang aktiviti pengurusan perolehan. Kepakaran perundangan pula didapati tidak menunjukkan sebarang pengaruh yang signifikan ke atas hubungan pemilikan keluarga dan kualiti pelaporan kewangan firma. Dapatan kajian ini memberi implikasi tentang keberkesanan jawatan kuasa audit dalam mengurangkan konflik agensi antara pemegang saham kawalan dengan pemegang saham bukan kawalan, terutama dalam persekitaran pemilikan keluarga yang dominan. Oleh itu, untuk meningkatkan kualiti pelaporan kewangan di firma Malaysia, maka kepakaran jawatankuasa audit merupakan antara ciri tadbir urus yang perlu diambil perhatian. Pihak penggubal dasar dan polisi di Negara ini perlu menetapkan syarat pelantikan ahli jawatankuasa audit yang boleh memberi kesan yang positif kepada kualiti pelaporan kewangan firma di Malaysia.  


Keywords


Pemilikan keluarga; kualiti pelaporan kewangan; jawatankuasa audit; kesan penjajaran; kesan pengukuhan

Full Text:

PDF


DOI: http://dx.doi.org/10.17576/AJAG-2018-09-14

Refbacks

  • There are currently no refbacks.


This journal is indexed by:

   

 

ISSN : 2180-3838

e-ISSN : 2716-6060